Print

Akhbar : BERNAMA  |   Tarikh : 18 Julai 2019

Kepala Batas, 18 July 2019:  Pelancaran Bertam Bandar Pintar Tenaga oleh Kerajaan Negeri P.Pinang melibatkan kerjasama bersama Institut Kaji Tenaga Solar (SERI) UKM, UKM Pakar Runding & ILP Kepala Batas. 

KEPALA BATAS, 18 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan menjadikan Bertam dekat sini sebagai bandar pintar tenaga pertama negeri menerusi gabungan usaha dua institusi pendidikan, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman hari ini.

Katanya Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) dan UKM Pakarunding Sdn Bhd akan bergabung dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas untuk mengorak langkah membangunkan bandar pintar tenaga ini.

“Strategi pertama (membangunkan bandar pintar ini) ialah (mengkaji) kecekapan tenaga dan pemuliharaan tenaga sebelum mengadaptasi penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam bentuk tenaga suria bagi membekalkan elektrik kepada bangunan," katanya ketika berucap merasmikan projek Bertam Smart Energy City di sini.

Menurutnya konsep bandar pintar tenaga ini sejajar dengan perkembangan era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang merupakan pendekatan baru menggabungkan teknologi konvensional dengan Internet of Things (IoT) untuk meningkatkan proses automasi, komunikasi, dan penggunaan data secara dalam talian dan 'real time'.

“Smart Energy City adalah salah satu konsep Smart City yang berasaskan IR4.0 yang pada mulanya hanyalah idea konseptual tetapi pada hari ini ia telah menjadi realiti kerana IoT mula diaplikasikan dalam infrastruktur bandar," katanya.

Ahmad Zakiyuddin berkata selain bertujuan untuk menjimatkan penggunaan tenaga, projek ini turut menggalakkan para pemaju dan pemilik bangunan untuk menggabungkan ciri-ciri teknologi hijau dengan strategi kecekapan dan pemuliharaan tenaga.

Beliau berkata lima buah bangunan yang terdiri dari ILP Kepala Batas, Masjid Abdullah Fahim, Hospital Kepala Batas, pasar raya Mydin Kepala Batas, dan pasar raya Tesco Kepala Batas telah dipilih untuk perlaksanaan fasa pertama projek ini.

Fasa pertama merupakan fasa bagi pakar dari ILP itu, SERI dan UKM Pakarunding untuk mengumpulkan data dan mengkaji elemen-elemen yang berkaitan dalam usaha pemuliharaan tenaga dan mengurangkan penggunaan tenaga berlebihan di dalam bangunan.

 

-- BERNAMA