Petikan Akhbar@JTM

Feed not found.

Akhbar : UTUSAN ONLINE |   Tarikh : 9 Julai 2019

PUTRAJAYA 9 Julai - Kerajaan akan terus meningkatkan keupayaan belia dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi dipenuhi oleh warga kerja tempatan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, usaha itu akan mengubah pasaran buruh negara selain dapat memastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji tinggi diwujudkan.

Dr. Mahathir berkata, TVET memainkan peranan penting dalam membantu usaha untuk menjadi negara maju setaraf dengan negara-negara maju yang lain dan tidak keterlaluan jika TVET dianggap sebagai kunci kemajuan pada masa akan datang.

“Oleh kerana itu, kerajaan memberi penekanan kepada TVET. Kita sedar permintaan dan keperluan industri kepada modal insan yang berkeupayaan untuk beriringan dengan peredaran teknologi yang begitu tinggi dan pantas.

“Menerusi TVET, kita bukan sahaja dapat menyediakan belia untuk pasaran kerja, tetapi juga menyediakan modal insan bagi pembangunan dan kemajuan negara,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup Persidangan TVET 2019 di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, era teknologi menuntut perubahan yang cepat serta pantas dan laju, oleh itu Malaysia tidak boleh ketinggalan jauh di belakang dan perlu bergerak seiring dengan perkembangan dan kepesatan teknologi semasa.

Katanya, pasaran kerja pada masa hadapan akan dipenuhi dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran yang kritis kerana mengalami perubahan yang signifikan berdasarkan kepada keperluan industri.

“Oleh itu, pemain utama TVET dan industri disarankan untuk memanfaatkan ‘Industri Forward’ dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing masing-masing dengan bersedia untuk mengharungi cabaran baharu itu agar masyarakat tidak terpinggir.

“Jadi, kita memerlukan institusi TVET yang lebih fleksibel dengan ketersediaan institusi TVET melalui proses perekayasaan (re-engineering) silibus dan kurikulum TVET, tenaga pengajar yang kompeten malah infrastruktur itu sendiri dalam mendepani cabaran ini,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan percaya agenda pemerkasaan TVET bersama penggiat utama industri harus menjadi hala tuju strategik dan kerjasama pintar antara kedua-dua pihak akan membantu dalam penghasilan produk berkualiti dan perkhidmatan yang lebih efisien.

“Kerjasama kukuh pihak industri dan institusi amat signifikan dalam memastikan padanan di antara penawaran dengan permintaan dalam membantu institusi TVET tempatan menyediakan keperluan kursus berteknologi tinggi berdasarkan kepada kehendak industri.

“Usaha ini diyakini dapat mewujudkan tenaga kerja pakar baharu yang mempunyai kesan limpahan sekali gus dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan teknologi di sektor-sektor lain seperti pertanian, pembinaan, kesihatan dan perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut menekankan bahawa pembangunan modal insan amat kritikal bagi masa depan negara dan beliau berharap persidangan TVET 2019 dapat mengukur dan menilai situasi semasa industri di Malaysia, sekali gus mampu menambahbaik hala tuju TVET.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Pautan penuh: https://www.utusan.com.my/berita/nasional/tingkatkan-keupayaan-belia-dalam-tvet-1.933049