Petikan Akhbar@JTM

Feed not found.

Akhbar : Harian Metro |   Tarikh : 24 Jun 2019

KEINGINAN membantu individu kudung tangan sejak lahir atau akibat kemalangan jalan raya dan lain-lain insiden memberi ilham kepada pensyarah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut, Pahang, Azuan Failani Ariffin mencipta inovasi tangan prostetik (Plastech) khusus untuk kegunaan golongan berkenaan.

Azuan yang juga Penolong Pegawai Latihan Vokasional Jabatan Teknologi Kejuruteraan Bahan Termaju (Polimer) berkata, projek itu dibangunkan bermula 2017 dan dicipta khusus untuk individu kudung tangan di bahagian antara bawah siku hingga ke jari.

Katanya, alat itu juga dicipta untuk mereka yang mengalami kesukaran menggenggam kuat sesuatu berpunca daripada penyakit angin ahmar, kesan pembedahan atau masalah saraf pada bahagian tangan.

“Individu yang kudung tangan atau mempunyai masalah pergelangan tangan sukar melakukan aktiviti harian secara sendirian dan keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa bergantung dengan orang sekeliling.

“Selain berdepan kesukaran itu, kecacatan dialami menyebabkan mereka hilang keyakinan diri dan daripada situ, tercetus idea untuk mencipta Plastech yang berfungsi seperti tangan palsu.

“Pada peringkat awal, saya bangunkan inovasi ini bersama dua penuntut saya dengan menggunakan poli asid laktik sebagai bahan asas di samping skru, plastik spam, tali pancing dan utiliti yang dibeli serta dipasang secara sendiri.

AZUAN menguji keberkesanan inovasi ciptaannya dengan memasangkannya pada tangan Mohammad Hafizi Hussin dari Kubang Kerian.

 

“Proses pembuatannya bermula dengan menekap bentuk tangan, mengukur, merekabentuk menggunakan perisian Solidwork, mencetak menggunakan mesin cetakan tiga dimensi (3D) sehingga proses akhir iaitu penyambungan bahagian komponen tangan,” katanya.

Menurut Azuan, setakat ini, alat berkenaan sudah diuji keberkesanannya menerusi percubaan oleh dua testimoni yang juga orang kurang upaya (OKU) dari Raub, Pahang dan Kubang Kerian, Kelantan.

Katanya, pihaknya kini dalam proses pembuatan tiga lagi unit Plastech dan diserahkan secara percuma kepada OKU yang dikenal pasti.

“Di samping maklum balas positif daripada testimoni yang juga penerima produk, projek inovasi ini juga sudah meraih pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Kreativiti TVET (Ticpro) 2019 di Kemaman, Terengganu pada hujung April lalu.

“Proses pendaftaran hak cipta dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) manakala pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga ada mengadakan pertemuan dengan saya bagi melihat projek ini memandangkan ia ada potensi untuk dikomersialkan.

“Besar harapan saya untuk melihat produk ini dimanfaatkan oleh golongan sasar kerana selain ringkas dan mudah digunakan, kos pembuatannya yang rendah juga membolehkan alat berkenaan dibeli dengan harga mampu milik,” katanya yang turut mencipta alat penyokong tangan iaitu Wrist Brace untuk kegunaan OKU.

Sumber : Harian Metro
Artikel Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/06/468274/inovasi-raih-pingat-emas