Petikan Akhbar@JTM

Feed not found.

Akhbar : Bernama  |    Tarikh : 2 Mei 2019

BUTTERWORTH, 2 Mei (Bernama) -- Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pilihan pertama pelajar sekarang ini untuk melanjutkan pelajaran kerana peluang pekerjaan dan pendapatan selepas menamatkan latihan itu adalah lebih baik. 
Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata ibu bapa sekarang mulai menyedari bahawa bidang kemahiran menerusi TVET menjamin masa depan anak mereka malah sudah ada pekerjaaan yang menunggu mereka ketika mereka masih belajar. "Jumlah gaji yang diterima juga tinggi. Sebagai contoh, ada pelajar TVET yang berkerja di Singapura dan Timur Tengah menerima gaji di antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan kerana mempunyai kepakaran yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Dan Yayasan Jasa Ann Joo, di sini.

JTM diwakili oleh Ketua Pengarahnya Datuk Muhd Khair Razman manakala Yayasan Jasa Ann Joo di wakili Pengarah Eksekutif Ann Joo Group Datuk Lawrence Lim Sun Chuan. Kulasegaran berkata fokus utama MoU ini adalah untuk memberi peluang perantisan dan penajaan biasiswa kepada pelajar-pelajar dari 32 buah Institusi Latihan JTM (ILTJTM) dan penempatan industri kepada pengajar-pengajar ILJTM di Ann Joo Group iaitu syarikat pembuatan besi. Katanya kerjasama ILJTM dengan pihak industri dan syarikat swasta adalah amat signifikan untuk memastikan pembangunan bidang TVET adalah selaras dengan kehendak industri malah dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa serta menimba pengalaman persekitaran kerja yang sebenar. Sementara itu Lawrence berkata menerusi Yayasan Jasa Ann Joo, biasiswa akan ditawarkan kepada pelajar ILJTM yang layak dan seterusnya menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka selepas tamat pengajian. "Setakat ini kita tidak ada (menetapkan) sasaran berapa ramai untuk ditawarkan biasiswa kerana kami dalam usaha untuk mengenal pasti pelajar yang akan diberikan biasiswa tersebut," katanya.

-- BERNAMA