Petikan Akhbar@JTM

Feed not found.

Akhbar :Harian Metro | Tarikh : 30 April 2019

SEBANYAK 94 peratus graduan menceburi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahun lalu berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, peluang pekerjaan menanti graduan TVET menyebabkan semakin ramai pelajar memperoleh keputusan cemerlang turut merebut tempat pengajian dalam TVET. Beliau berkata, sebelum ini, bidang kemahiran adalah tempat terakhir kepada lepasan sekolah untuk melanjutkan pengajian mereka. “Namun, selepas graduan TVET ditawarkan pelbagai pekerjaan, ia membuktikan bidang kemahiran ini bukan lagi pilihan terakhir untuk melanjutkan pengajian,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Pertandingan Projek Inovasi dan Kreatif TVET (TICPRO 19) di Advanced Technology Training Center (ADTEC) di Chukai, Kemaman, hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia, Zaihan Shukri dan Pengarah ADTEC Kemaman, Abdul Halim Abd Rahman. Sebanyak 125 projek dipertandingkan dalam pelbagai kategori membabitkan 471 peserta dari seluruh negara dengan tempat pertama menjadi milik Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai, Pulau Pinang, manakala Sekolah Kebangsaan Kijal, Kemaman dinobatkan penerima pingat emas kategori sekolah serta menerima Anugerah Khas Juri. Mahfuz berkata, dengan perkembangan industri ketika ini, kebanyakan syarikat berlumba-lumba mendapatkan tenaga kerja dalam kalangan graduan lepasan TVET. “Syarikat industri kini memerlukan pekerja berkemahiran dan sekiranya mereka memiliki ijazah, peluang lebih cerah untuk dipilih bekerja. “TVET harus dijadikan sebagai pilihan utama kerana industri sentiasa menantikan golongan mahir biar pun mereka masih belum menamatkan pengajian. “Kerajaan komited dalam melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran seiring negara maju dan kita akan memperkasakan institut kemahiran bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam pelbagai bidang,” katanya.

Sumber Artikel : hmetro.com.my