Petikan Akhbar@JTM

Feed not found.

Akhbar : Utusan Online   |    Tarikh : 16 Oktober 2018

 

KAJANG 16 Okt. - Pusat-pusat latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) diseru agar mencari jalan menghasilkan ‘technopreneur’ atau usahawan teknologi berasaskan teknologi elektrik dan hibrid yang kini menjadi trend dalam industri automotif.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, peralihan dari enjin pembakaran dalaman itu memaksa kepada teknologi tersebut memkasa semua yang terlibat dalam industri automotif melakukan perubahan, menaik taraf pengetahuan, kemahiran dan infrastruktur.

“Justeru itu, pusat-pusat latihan TVET yang terlibat dalam industri automotif serta pengilangan dan pembuatan mesti kekal relevan dalam menghadapi era peralihan teknologi ini. Trend ‘disruptive’ ini juga mempunyai peluang-peluang yang boleh dimanfaatkan.

“Sebagaimana dengan penubuhan Proton dahulu menghasilkan ramai vendor tempatan, usaha-usaha mesti difikirkan dan dijalankan agar teknologi kenderaan elektrik dan hibrid ini juga akan menghasilkan lonjakan yang sama. Inilah harapan Malaysia baru dalam bergerak ke hadapan membangunkan sumber manusia tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Technology Update Zukunftige Automobile-Future Automative di German-Malaysian Institute (GMI) di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Nidzam Kamarulzaman dan Pengarah Urusan GMI, Yusoff Md. Sahir.

Program anjuran bersama JPK dan GMI dengan sokongan Institut Automotif Malaysia (MAI) selaku Badan Peneraju Industri (ILB), bertujuan sebagai platform perkongsian ilmu dan idea dari pihak industri kepada peserta yang terdiri daripada pengajar-pengajar kemahiran dalam bidang automotif.

Seminar itu dihadiri lebih 200 peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar pusat latihan awam dan swasta, pensyarah universiti awam dan swasta serta pemain industri automatif termasuk Proton, Mazda dan Toyota serta barisan pakar teknologi automotif dalam dan luar negara.

Menurut Mahfuz, sektor automotif merupakan antara industri penting kepada ekonomi negara di mana ia dijangka meningkat dua kali ganda berbanding empat peratus pada tahun lalu, seterusnya secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pekerjaan.