Petikan Akhbar@JTM

Feed not found.

Akhbar : Berita Harian Online   |   Tarikh : 29 Jun 2018

 

 

REMBAU: Stigma negatif terhadap Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) menyebabkan jumlah pendaftaran dalam pendidikan vokasional itu masih pada tahap rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar, berkata persepsi pendidikan vokasional hanya untuk memenuhi keperluan pelajar kurang cemerlang dalam pelajaran, perlu diubah.

Katanya, pendidikan vokasional sama penting dengan pendidikan lain dalam usaha mempersiapkan negara dengan ramai pekerja teknikal mahir, terutama dalam sektor perindustrian.

"Ia terbukti apabila pendidikan vokasional turut menawarkan pelbagai pilihan pekerjaan dan seterusnya berjaya. Malah, gaji yang ditawarkan juga lumayan," katanya kepada pemberita ketika melawat Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah ILP Pedas, Noor Ariffin Mohd Ariff.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai itu berkata, ILP Pedas yang diwujudkan sejak tahun 2000, bukan hanya menawarkan pelbagai kursus teknikal dan vokasional untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi turut dibuka kepada majikan yang mahu pekerja mereka mendapatkan kemahiran dengan yuran minimum.

"Menariknya, yuran yang dikenakan terhadap lepasan SPM di ILP adalah percuma dan lengkap dengan penginapan serta makanan, selain mendapat elaun sebanyak RM100 sebulan," katanya.

Arul berkata, ILP Pedas yang mampu menerima 630 pelajar pada satu-satu masa, ketika ini mempunyai seramai 420 pelajar dengan 30 peratus daripada mereka adalah dari Negeri Sembilan.

"Kita mahu lebih ramai pelajar dari negeri ini mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan ini kerana walaupun ILP sudah lama wujud, masih ramai yang tidak tahu mengenainya.

"Saya sudah berbincang mengenai perkara ini dengan ADUN lain dan mereka bersetuju membantu mempromosikan ILP dengan meletakkan risalah penerangan di pusat khidmat masing-masing, selain memaklumkan mengenai kemudahan dan faedah yang ditawarkan," katanya.

Sumber : BH Online