Petikan Akhbar@JTM

Feed not found.

Akhbar :  Berita Harian  |  Tarikh : 10 Jun 2018

IPOH: Institut Latihan Perindustrian (ILP) perlu lebih agresif mempromosikan latihan kemahiran bagi menarik lebih ramai penyertaan dalam kalangan lepasan sekolah menengah yang kurang cemerlang dalam akademik.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata langkah itu perlu bagi memastikan ILP boleh berfungsi sebagai pusat latihan tempatan pilihan selain memaksimumkan keupayaan mereka.

"Kita akan cuba menjangkau ke sekolah, terutama sekolah (menengah jenis kebangsaan) Cina kerana sangat sedikit kerjasama membabitkan sekolah Cina dan ILP dibuat.

"ILP juga akan berbincang dengan pengetua sekolah dan pihak yang terbabit secara langsung bagi membolehkan pelajar yang kurang dari segi akademik dapat ditempatkan di ILP dan mendapat latihan kemahiran yang sepatutnya.

"Jadi, kita akan dapat naik taraf kemahiran mereka, mengasah latihan kemahiran dan memberikan latihan kemahiran kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama pertubuhan bukan kerajaan dan penggiat industri di ILP Ipoh di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan serta Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.

Kulasegaran berkata, ketika ini ada 32 institut latihan kemahiran di bawah kendalian Kementerian Sumber Manusia (KSM) di seluruh negara dan hampir kesemuanya mempunyai bilangan jumlah pelajar yang kurang berbanding tempat disediakan.

Katanya, faktor minat serta persepsi latihan kemahiran hanya untuk yang tercicir perlu diperbetulkan dan ditangani dengan lebih berkesan bagi memastikan lebih ramai lepasan sekolah mengikuti program latihan yang disediakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, KSM akan meminta kerajaan negeri menambah peruntukan sedia ada dalam bidang latihan kemahiran bagi memastikan lebih ramai anak Perak mendapat manfaat.

Katanya, ini sekali gus dapat mengelak golongan berkenaan daripada berhijrah ke luar Perak.