PENANGGUHAN SESI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP) SECARA BERSEMUKA / FIZIKAL BERIKUTAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB) DI SELURUH SEMENANJUNG KECUALI PERLIS, PAHANG & KELANTAN.

7 NOVEMBER 2020

Berikutan daripada pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang akan berkuat kuasa selama empat (4) minggu bermula 9 November 2020 sehingga 6 Disember 2020, ADTEC Shah Alam telah mengambil kira perkembangan semasa dan memutuskan semua aktiviti berkaitan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka adalah ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB. Para pensyarah diminta mengadakan kelas secara atas talian sepenuhnya mengikut jadual dan perancangan kursus masing-masing. Kelas amali bersemuka tertentu hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kelulusan dan mengikut SOP yang ditetapkan.


Sehubungan itu, pelajar yang tinggal di asrama dibenarkan pulang ke rumah kediaman sekiranya mendapat pengesahan waris/penjaga masing-masing. Waris / penjaga dikehendaki mengisi Surat Pelepasan dan Aku Janji JTM bagi membolehkan pelajar pulang. Pelajar dibenarkan pulang mulai jam 08.00 pagi sehingga jam 9.00 malam, bermula 8 November 2020. Waris / penjaga yang hadir hanya dibenarkan mengambil pelajar di Blok Akademik menggunakan konsep ‘pick up and go’.


Waris/penjaga adalah BERTANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA ke atas keselamatan anak/anak jagaan masing-masing ketika dan dalam tempoh pulang bermalam pilihan ini serta perlu mematuhi arahan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.


Pelajar yang memilih untuk tidak pulang, dibenarkan untuk terus berada di institut dengan pengawasan pihak warden, makan minum akan disediakan seperti biasa.
Pelajar yang pulang ke rumah perlu kembali ke institut pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian tertakluk pada arahan semasa daripada pihak MKN dan JTM.
Pihak ADTEC Shah Alam menyedari kebimbangan ibu bapa berikutan keadaan semasa penularan COVID19. Dalam hal ini pihak ADTEC Shah Alam sentiasa memantau situasi pelajar dan bekerjasama dengan agensi lain bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar terjamin. Sama-samalah kita berdoa agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan dan negara kita akan bebas daripada wabak berkenaan, serta terus berada dalam keadaan aman damai dan sejahtera.


Kenyataan ini adalah tertakluk kepada arahan terkini Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Kementerian Sumber Manusia serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Arahan ini berkuatkuasa serta merta sehingga 6 Disember 2020.


PENGARAH
PUSAT LATIHAN TEKNOLOGI TINGGI (ADTEC) SHAH ALAM
7 NOVEMBER 2020