LATAR BELAKANG

Pusat Latihan Teknologi Tinggi Shah Alam atau lebih dikenali sebagai ADTEC Shah Alam merupakan salah sebuah institut latihan di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) yang ditubuhkan bagi membangun tenaga kerja mahir yang kompeten melalui latihan berteknologi tinggi seiring wawasan kerajaan untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Melalui Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK ke-7), ADTEC Shah Alam dibina di kawasan perindustrian Bukit Kemuning di atas tapak seluas 40 ekar dan telah siap pembinaan sepenuhnya pada tahun 2000. ADTEC Shah Alam telah memulakan operasi dengan membuat pengambilan pertama pelajar seramai 107 orang. Y.A.B Dato' Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa itu telah merasmikan penubuhan ADTEC Shah Alam pada 11 Januari 2003.

Sehingga Disember 2014, ADTEC Shah Alam telah mengeluarkan seramai 3861 orang graduan dalam pelbagai bidang kemahiran termasuk Kimpalan, Pembuatan (Pemesinan), Jaminan Kualiti, Komputer (Sistem), Penyejuk Bekuan dan Penyamanan Udara, Mekatronik, Elektronik, Elektrik Kuasa dan Penyelenggaraan Kapal Terbang. Para graduan lepasan ADTEC Shah Alam telah memasuki pasaran industri bukan sahaja di dalam malahan di luar negara.

Selain daripada itu, melalui program Malaysian Japan Automotive Industry Co-Operation (MAJAICO) yang merupakan inisiatif di bawah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Malaysia Jepun yang ditandatangani pada Julai 2006, JTM dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan projek MAJAICO B iaitu kerjasama di antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Japan External Trade Organization (JETRO). Projek MAJAICO B yang dijalankan oleh JTM dan NISSAN ini bertujuan menjalankan aktiviti latihan kepada pensyarah di institusi latihan serta memperluaskan kemahiran yang sedia ada ke tahap yang lebih tinggi untuk melatih tenaga kerja industri dalam bidang automotif.

Dengan sejumlah 10 bidang kursus yang ditawarkan di ADTEC Shah Alam, maka ianya menjadi satu tanggungjawab besar institusi dalam menjana tenaga mahir berpendapatan tinggi seperti yang diunjurkan Negara iaitu sekurang-kurangnya 54% pekerja mahir menjelang tahun 2020.